Wednesday 30 November 2011

Sejarah Melaka



Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Sejarah Melaka bermula apabila Parameswara putera raja dari Palembang telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit, baginda telah lari mencari perlindungan ke Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari Temasik oleh penjajah dari Siam, pada tahun 1396, beliau dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara sungai Melaka.

Setelah tiba di Bertam, baginda telah melihat anjing perburuannya ditendang oleh seekor pelanduk putih. Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk putih tersebut dan membuat keputusan untuk membuka negeri di situ. Baginda telah bertanyakan nama pohon tempat baginda bersandar dan pengikutnya memberitahu bahawa nama pohon tersebut adalah pohon Melaka. Maka baginda telah membuat keputusan untuk menamakan negerinya sempena nama pohon tersebut.


Pilihan Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan Melaka yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan. Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. Parameswara yang telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414 telah meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai pusat perdagangan dan pengembangan agama Islam yang terulung di rantau ini.

Melaka terus terkenal sebagai pusat perdagangan Melayu di Timur. Antara barang dagangan yang boleh didapati di Melaka adalah sutera dan porselin dari China, kain dari Gujerat serta Coromandel di India, kapur barus dari Borneo, cendana dari Timor, buah pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas dan lada hitam dari Sumatera serta timah dari Tanah Melayu.

Namun demikian, kemasyhuran Melaka telah bermula seiring dengan keadaan di mana negara-negara Eropah sedang membuka langkah untuk meluaskan lagi kuasa mereka ke benua Timur dan Melaka merupakan antara bandar pelabuhan yang menarik perhatian mereka. Pada tahun 1509, Diego Lopez De Squera dari Angkatan di Raja Portugal merupakan angkatan Portugis pertama telah tiba di Melaka. Selepas serangan bertubi-tubi pada tahun 1511, Melaka akhirnya telah berjaya ditawan oleh angkatan Portugis yang diketuai oleh Alfonso d’ Albuquerque.

Sultan Mahmud Syah, pemerintah Melaka ketika itu, telah berundur ke Johor dan setelah bertapak di situ, orang Melayu cuba menyerang kembali orang Portugis tetapi tidak berjaya. Salah satu sebab yang menjadi kekuatan pihak Portugis adalah pembinaan kota A’ Famosa sebagai benteng pertahanan mereka.


Kota A’ Famosa telah memantapkan lagi kuasa Portugis di Melaka selama 130 tahun. Sehinggalah pada tahun 1641, Melaka akhirnya jatuh ke tangan Belanda melalui serangan dan pertempuran yang sengit di antara kedua-dua pihak. Bandar Melaka hampir musnah dan dalam tempoh satu setangah abad, Belanda telah membinanya semula dan menjadikannya sebagai pangkalan tentera kerana lokasinya yang strategik bagi mengawal Selat Melaka.


Pada tahun 1795, semasa Peperangan Napoleon, Melaka telah diserahkan kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris buat sementara bagi mengelakkan ianya ditawan oleh negara Perancis. Melaka telah dipulangkan semula kepada Belanda pada tahun 1818, melalui Perjanjian Venice. Melalui Perjanjian Anglo-Belanda atau Perjanjian London 1824 yang mengasingkan kawasan jajahan British dan Belanda, British kembali menguasai Melaka serta kawasan utara selat dan Singapura manakala Belanda di bahagian selatan selat (Kepulauan Indonesia).

Dari tahun 1826, Melaka ditadbir oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris yang berpengkalan di India. Pada tahun 1827, Negeri-negeri Selat (iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura) telah menjadi tanah jajahan British dan diletakkan di bawah pemerintahan Pusat di London. British telah meneruskan kuasanya di negeri-negeri Melayu sehinggalah berlakunya Perang Dunia ke-2 .

Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, British kembali menyambung penguasaannya di Tanah Melayu sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu diisyhtiharkan merdeka oleh Y.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaya yang pertama pada 31 Ogos 1957.

KESAN JAJAHAN TERHADAP PEMBANGUNAN MELAKA

Terdapat pelbagai kesan jajahan kepada pembangunan .Antaranya ialah wujudnya binaan bangunan yang ditinggalkan oleh penjajah. Binaan ini menunjukkan bahawa penjajah telah menapak di Negara kita sejak bertahun lamanya.Contohnya kota A Famosa di Melaka yang ditinggalkan oleh Portugis.
Wujudnya bandar-bandar baru di Tanah Melayu disebabkan oleh penglibatan imegren dalam perusahaan bijih timah dan getah. disebabkan itu juga menyebabkan beberapa bandar baharu didirikan Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping, dan Kelang. Misalnye wujud Muzium TLDM.


KESAN JAJAHAN TERHADAP BUDAYA

Kebudayaan Melaka bermula lebih daripada enam kurun dimana pelbagai adat etnik dan tradisi diadun sempurna. Kehidupan aman rakyat Melaka berpunca daripada kehidupan pelbagai kaum yang telah melahirkan orang-orang Melayu, Cina, India, Baba dan Nyonya, Portugis, Chitty dan Eurasia. Setiap kumpulan etnik ini memberi citarasa yang berbeza rakyat Melaka yang terkenal sebagai rakyat yang peramah.

Setiap kaum ini memegang teguh tradisi mereka dan ini dapat dilihat melalui makanan, adat keagamaan, festival, budaya, rekabentuk, pemakaian, barang kemas dan kraftangan.
Hari ini Melaka mempunyai banyak perkara untuk ditawarkan kepada pelancong seperti budaya, adat istiadar, tempat-tempat bersejarah, festival keagamaan, sambutan perayaan tradisional di bandar Melaka serta Alor Gajah dan Jasin.

MELAYU

Organisasi sosial orang Melayu di Melaka dibahagikan kepada dua iaitu mereka yang mengikut Adat Temenggong iaitu si isteri mengikut keluarga si suami dan Adat Perpatih, di mana si suami mengikut keluarga si isteri.

Wanita Melayu memakai pakaian yang longgar dan berlengan panjang yang dinamakan baju kurung dan dipakai bersama kain sarung, atau baju yang sedikit ketat dan mengikut potongan badan yang dinamakan baju kebaya.

Lelaki Melayu memakai baju Melayu yang dipakai bersama seluar yang longgar berserta dengan kain yang dikenali sebagai samping yang diikat di pinggang. Untuk majlis perkahwinan dan kenduri, kain songket akan digunakan sebagai kain samping. Tradisi dan karakter lain orang Melayu digambarkan melalui lagu seperti Dondang Sayang Melayu dan seni mempertahankan diri seperti Silat Melayu.

CINA

Kaum Cina datang ke Melaka semenjak perpindahan beramai-ramai orang Cina dari provinsi Selatan di negara Cina. Kaum-kaum seperti Hokkien, Cantonese, Hakka, Teochew dan Hainanese masih mengikut adat istiadat, tradisi, makanan, bahasa dan ciri-ciri kebudayaan mereka.

INDIA

Kaum India di Melaka adalah orang Tamil dari India Selatan dimana mereka mendiami ladang getah. Walaubagaimanapun, ada juga diantara mereka yang bekerja dalam perniagaan barang kemas, fabrik, peniaga runcit, pedagang dan peminjam wang.


BABA DAN NYONYA

Baba dan Nyonya di Melaka adalah Cina Peranakan di mana nenek moyang mereka telah datang dan berkahwin dengan wanita tempatan. Perkahwinan campur seperti ini telah melahirkan budaya Cina yang unik serta tradisi Melayu.

Kaum Baba dan Nyonya telah memperkenalkan perabot unik, porselin dan pinggan mangkuk, cara pemakaian dan makanan lazat yang hanya boleh dijumpai di Melaka. Kaum Nyonya memakai sarung kebaya dengan "brooch" berbagai bentuk dan barang kemas yang diperbuat daripada perak atau emas.

PORTUGIS

Melaka adalah satu-satunya negeri yang mempunyai penempatan Portugis yang diasaskan pada tahun 1930. Penduduknya menamakan tempat ini Padre Sua Chang (Tanah Paderi) sempena dengan pengasasnya. Masyarakat yang tinggal di sini adalah orang Eurasia berketurunan Portugis yang hidup sebagai nelayan.

Orang Portugis mengamalkan agama Katolik dan bercakap bahasa Cristang atau Cristao. Kaum Portugis di Melaka menyediakan kehidupan tradisional, bahasa, adat resam dan musik yang ternyata unik. Tariannya yang paling popular adalah Beranyo dan Frapeirra. Festival Kristian juga di sambut dengan hebat termasuk Hari Krismas, Pesta San Pedra dan Easter.

"All the picture,information are for educational purpose only"